NGO khuatir langkah mansuh AP ‘bunuh’ petani, penternak tempatan

NGO khuatir langkah mansuh AP ‘bunuh’ petani, penternak tempatan

Tindakan itu wajar bagi mengelakkan monopoli syarikat tertentu, namun dikhuatiri memberi implikasi jangka masa panjang lebih besar, kata Nurfitri Amir Muhammad daripada Forum Kedaulatan Makanan Malaysia.

Apabila berlaku lambakan produk pertanian, kumpulan paling rugi adalah petani dan penternak tempatan kerana biasannya barangan import lebih murah, kata Nurfitri Amir Muhammad.
PETALING JAYA:
Tindakan drastik kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta boleh “membunuh” petani dan penternak tempatan di negara ini, kata wakil NGO.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia Nurfitri Amir Muhammad berkata, pemansuhan AP sememangnya wajar bagi mengelakkan monopoli syarikat tertentu.

Bagaimanapun katanya, implikasi jangka panjang lebih besar apabila ia dijangka memberi kesan buruk kepada petani dan penternak tempatan.

“Masalah yang sering terjadi kepada petani cili atau lada umpamanya dalam beberapa tahun lepas, mereka tidak dapat menjual hasil sebab import terlalu banyak, begitu juga dengan isu penternak dan tanaman lain,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Nurfitri berkata, apabila berlaku lambakan produk pertanian, kumpulan paling rugi adalah petani dan penternak tempatan kerana kebiasaannya barangan import akan menjadi lebih murah.

“Saya lebih bimbang melihat kesan jangka panjang kerana apabila petani dan penternak terhapus, tak berniaga dan keluar daripada sektor pertanian, susah kita nak dapat petani baharu,” katanya.

“Apabila habis krisis, apa yang tinggal di Malaysia? Jadi kita akan sentiasa bergantung kepada import.”

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan syarat AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai bagi memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi.

Mengulas lanjut, Nurfitri berkata, kualiti makanan import juga dijangka menjadi persoalan susulan pemansuhan itu yang akan menyaksikan lebih banyak pengusaha menjalankan aktiviti pengimportan.

“Siapa nanti akan kawal kualiti makanan tersebut, halal ke tak halal? Mudah untuk import tetapi perlu berhati-hati, takut tidak ada kualiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.