Mansuh AP untuk semua barangan import, gesa ahli Parlimen DAP

Mansuh AP untuk semua barangan import, gesa ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan keputusan kerajaan hanya memansuhkan AP untuk satu sektor.

Permit import untuk semua barangan import, termasuk kenderaan bermotor patut dimansuhkan, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen DAP meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengambil keputusan “berani” dengan memansuhkan permit import (AP) bagi semua barangan import, termasuk kenderaan bermotor.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, pemansuhan AP makanan import dapat menangani kenaikan harga, tetapi mengapa kerajaan hanya memansuhkan AP untuk satu sektor.

“Kenapa hanya mansuhkan AP untuk makanan? Kerajaan patut mansuhkan semua AP, khasnya untuk kenderaan bermotor kerana ia akan mengurangkan kerenah birokrasi yang menyebabkan rasuah dan peningkatan kos barangan import,” katanya dalam kenyataan.

“Pemegang AP menikmati keistimewaan mereka terlalu lama. Daripada memberi manfaat kepada rakyat, dasar itu hanya memberi manfaat dan memperkayakan individu tertentu yang mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa sehingga menjejaskan pengguna.”

Lim berkata, saingan dalam pasaran terbuka akan membantu menurunkan kos barangan import dan usahawan tempatan juga akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk meningkatkan daya saing global dan menjadi pemain utama dalam pasaran antarabangsa.

Pengerusi biro aduan awam kebangsaan DAP itu turut menggesa kerajaan memberi insentif kepada pengeluar makanan tempatan untuk menaik taraf teknologi dan kemudahan pengeluaran mereka.

Semalam, Ismail mengumumkan pemansuhan AP untuk mengimport bahan makanan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi.

Selain beberapa jenis sayuran, daging dan sembilan jenis makanan laut, AP juga diperlukan untuk mengimport mangga, kelapa dan betik sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.