Mansuh AP tak jamin keselamatan makanan, kata ahli ekonomi

Mansuh AP tak jamin keselamatan makanan, kata ahli ekonomi

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak memberi amaran langkah itu mungkin tidak cukup untuk menjamin keselamatan makanan dalam jangka panjang.

Sebelum ini, permit import diperlukan untuk mengimport mangga, kelapa, betik, beberapa jenis sayuran, daging dan sembilan jenis makanan laut.
PETALING JAYA:
Walaupun pemansuhan permit import (AP) bagi bahan makanan akan memanfaatkan pengguna dari segi harga dan pilihan, namun langkah lebih konkrit diperlukan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan makanan, kata ahli ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pemansuhan dasar lama seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam bertujuan mengatasi kenaikan kos bahan makanan dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa langkah itu mungkin tidak cukup untuk menjamin keselamatan makanan dalam jangka panjang.

“Saya menjangkakan harga akan turun sedikit, tetapi ini hanya untuk jangka pendek dan tidak berkesan untuk jangka sederhana atau panjang. Kita perlu mengamalkan penggantian import. Kita perlu melihat apakah kesannya terhadap import dan imbangan dagangan kita.”

Barjoyai Bardai.

Penggantian import merujuk kepada sekatan import dalam usaha meningkatkan permintaan untuk barang keluaran tempatan.

Sebelum ini, AP diperlukan untuk mengimport mangga, kelapa, betik, beberapa jenis sayuran, daging dan sembilan jenis makanan laut.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan tahun lalu, Malaysia mengimport makanan bernilai RM482.8 bilion dari 2011 hingga 2021, dengan eksport berjumlah RM296 bilion dalam tempoh sama.

Laporan itu juga menyebut bahawa Malaysia sangat bergantung kepada pengimportan daging lembu, kambing, kelapa dan mangga untuk memenuhi permintaan domestik.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, langkah menghapuskan AP akan menamatkan “sikap monopoli” pemain tertentu dalam pasaran.

Katanya, dasar itu akan memastikan semua perniagaan kini boleh bersaing secara adil dan merupakan perkembangan positif untuk pelabur asing.

Beliau turut menggesa kerajaan memansuhkan AP untuk barangan lain demi matlamat jangka panjang untuk menjadikan ekonomi lebih terbuka dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Tahniah kepada perdana menteri kerana membuat keputusan berani yang belum pernah dilakukan oleh perdana menteri lain.

“AP ini wujud sejak sekian lama. Tidak ada perdana menteri sejak 65 tahun selepas Merdeka sanggup melakukannya kerana tekanan daripada pengusaha.”

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Marimuthu Nadason turut berterima kasih kepada Ismail kerana “mendengar suara rakyat” dan langkah itu akan membolehkan “lebih ramai pemain berani” memasuki pasaran.

“Sebelum ini, anda hanya boleh mendapat kelulusan (AP) jika ada hubungan.”

Menegaskan bahawa keselamatan makanan adalah kebimbangan utama di seluruh dunia beliau berkata, kerajaan harus melakukan yang terbaik untuk memastikan bahan makanan asas sentiasa mencukupi dan tidak terjejas kerana tekanan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.