Kes HFMD meningkat, apa yang perlu anda tahu?

Kes HFMD meningkat, apa yang perlu anda tahu?

Sebanyak 31,661 kes HFMD direkodkan dari Januari hingga 17 Mei, meningkat 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.

Gejala HFMD termasuk demam, luka seperti lepuh yang menyakitkan di dalam mulut dan ruam yang mungkin muncul sebagai lepuh.
PETALING JAYA:
Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini semakin meningkat dengan negeri Melaka bertindak menutup premis penjagaan kanak-kanak sementara Selangor memberi amaran ia mungkin menutup sekolah dan premis penjagaan kanak-kanak di negeri itu.

Sebanyak 31,661 kes HFMD direkodkan dari Januari hingga 17 Mei, meningkat 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas. Minggu lepas sahaja, jumlah kes meningkat 349% berbanding minggu sebelumnya, dengan peningkatan daripada 1,676 kepada 7,526.

FMT melihat punca peningkatan kes HFMD ini dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.

Apa itu HFMD?

HFMD adalah penyakit yang disebabkan terutamanya oleh virus Coxsackie A16 (CA16) dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis mereka yang dijangkiti.

Gejala termasuk demam, luka seperti lepuh yang menyakitkan di dalam mulut dan ruam yang mungkin muncul sebagai lepuh.

Apa yang sedang berlaku?

Majoriti kes yang dilaporkan berlaku di Selangor, iaitu sebanyak 28% daripada jumlah keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (14%), Sabah (8%), Perak (8%) dan Kelantan (7.9%).

Awal bulan ini, sebanyak 1,548 kes HFMD dilaporkan di Kelantan, meningkat 553% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Di Melaka, 12 premis penjagaan kanak-kanak ditutup selepas 1,378 kes direkodkan dari awal tahun hingga 14 Mei, kira-kira 25 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.

Sehingga 7 Mei, Terengganu merekodkan 782 kes HFMD, meningkat lebih 700% berbanding tempoh sama tahun lepas, yang hanya mencatatkan 95 kes.

Siapa yang berisiko dijangkiti?

Walaupun orang dewasa boleh dijangkiti penyakit ini namun kemungkinannya jauh lebih rendah berbanding kanak-kanak kecil.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini berkata, daripada semua kes yang dilaporkan, 94% membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, manakala 5% terdiri daripada mereka yang berusia antara tujuh dan 12 tahun.

Dr Zulkifli Ismail, pakar perunding pediatrik dan pengerusi program Keibubapaan Positif Persatuan Pediatrik Malaysia, menjelaskan bahawa virus HFMD menyasarkan individu yang mempunyai imuniti yang berkurangan dan mereka yang tidak pernah terdedah kepadanya sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan mendadak dalam bilangan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD adalah berikutan pembukaan sekolah, tadika dan taska selepas pengasingan berpanjangan semasa wabak Covid-19.

Beliau juga berkata, sebab lain adalah ibu bapa menghantar anak mereka yang tidak sihat ke pusat-pusat ini, sekali gus menularkan virus kepada kanak-kanak lain.

Menyebut bahawa kebanyakan pesakit HFMD yang dilihatnya dijangkiti di tadika atau pusat jagaan, beliau berkata, kebanyakan orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih tua sudah terdedah kepada virus ini dan memperoleh tahap imuniti tertentu.

Mengapa ia berlaku?

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Kasemani Embong, majoriti kes di negeri tersebut melibatkan kanak-kanak yang ditempatkan di taska.

Beliau berkata, kegagalan mengambil langkah pencegahan dan memastikan kebersihan di taska menjadi punca penularan HFMD.

Di Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan kes HFMD dilaporkan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan semula tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, peningkatan ini dijangka susulan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sekolah dan kehadiran semula secara fizikal di tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Tahun lepas, perintah kawalan pergerakan (PKP) menghalang orang ramai keluar dengan bebas. Jumlah kes HFMD dijangka meningkat (selepas pembukaan semula) dan ia kembali normal sekarang,” kata Khairy.

Kekal dilindungi

Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman menggesa orang ramai, khususnya usahawan dan pengasuh kanak-kanak, supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kebersihan premis, lantai, bilik air serta peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak.

“Selain itu, mereka yang bertanggungjawab perlu membuat saringan di pintu masuk, amalkan kebersihan diri, termasuk membasuh tangan semasa mengendalikan kanak-kanak, memastikan lampin pakai buang dibuang ke dalam tong bertutup dan laporkan mana-mana kluster HFMD kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat,” katanya.

Khairy menasihatkan orang ramai supaya mengambil berat tentang kebersihan diri dan berkata, ibu bapa perlu menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan maklumat mengenai penyakit berjangkit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.