
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya belum dapat menghubungi lelaki berkenaan.
“Sekarang kami berusaha untuk bercakap dengan lelaki yang membuat pendedahan mengenai kes itu, dan kita mahu dia memberikan kerjasama yang baik.
“Setakat ini kami belum dapat menghubunginya, walaupun mengikut maklumat, pegawai kami sudah dapat menghubunginya dan dia beritahu akan hubungi semula, tetapi sampai hari ini usaha itu belum berjaya sedangkan ini penting bagi mencari bukti serta menyelesaikan masalah,” katanya menurut laporan Bernama.
Sebelum ini, media mendedahkan pengakuan seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia yang mendakwa terdapat bukti rakaman video cara sembelihan haiwan yang dikatakan melanggar protokol sebenar.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pihaknya juga tidak berkompromi dengan isu berkenaan kerana perkara itu melibatkan soal halal dan haram.
“Kalau ikut fakta yang diberikan oleh pegawai kita di sana (Australia), kita bersedia, kalau ada maklumat seperti fakta dan data, malah kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini,” katanya.
Menurutnya, yang penting untuk pencarian itu Jakim memerlukan maklumat tepat, dan pihaknya mengakui mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa kelengkapan lain di pusat penyembelihan terbabit.
Sementara itu, Idris berkata Jakim sudah menggantung operasi kira-kira 16 pusat loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia, sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.