Bekas ADUN Warisan mohon sertai BN

Bekas ADUN Warisan mohon sertai BN

Yusof Yacob menyerahkan permohonan kepada Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan terpulang kepada parti itu untuk membuat keputusan.

Yusof Yacob (kiri) bersama Bung Moktar Radin pada majlis Aidilfitri anjuran BN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Bekas ADUN Warisan Yusof Yacob hari ini mengesahkan beliau telah membuat permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Katanya, permohonan itu diserahkan kepada Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan beliau menyerahkan kepada parti itu untuk membuat keputusan.

“Sebelum ini saya sudah suarakan untuk menyokong GRS (Gabungan Rakyat Sabah), sokong PM (perdana menteri). Soal parti itu saya serahkan kepada Bung.

“Kita tunggu masanya lah (pengumuman rasmi). Kita harus lupakan yang lalu dan melihat ke hadapan…kita harus memikirkan masa depan Sabah dan generasi muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Aidilfitri BN Sabah yang turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Bung ketika ditemui mengesahkan menerima borang permohonan daripada Yusof dan berkata akan mengumumkan mengenainya dalam masa terdekat.

“Sampai masanya sudah (Yusof menyertai BN), nanti kita umum satu dua hari lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bung berkata BN mengalu-alukan usaha GRS yang menubuhkan jawatankuasa solidariti GRS-BN.

Katanya, usaha itu dilihat mampu memperkukuhkan lagi parti dalam kerajaan GRS-BN ketika ini.

“Kita memikirkan kepentingan rakyat Sabah. Negeri ini sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan, ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya, jadi saya rasa sudah tiba masanya kita memperkukuhkan kerajaan sekarang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai soal pembahagian kerusi dengan GRS, Bung berkata perkara itu akan diputuskan bila tiba masanya.

“Nanti kita akan bincang (soal kerusi), sudah pasti parti-parti semua pun mahu bertanding tapi kita akan lihat nanti dan putuskan bila sampai masanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.