Yasin akan ‘dirai’ di 40 negara maju benar kanabis untuk perubatan, kata Syed Saddiq

Yasin akan ‘dirai’ di 40 negara maju benar kanabis untuk perubatan, kata Syed Saddiq

Ketua Kaukus Parlimen Perubatan Kanabis itu berkata, komposer terbabit tidak perlu dipenjarakan di 40 negara maju itu kerana dia dianggap berpenyakit dan perlu dibantu.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir memberi sokongan moral kepada penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Ketua Kaukus Parlimen Perubatan Kanabis, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muhammad Yasin Sulaiman tidak perlu dipenjarakan, sebaliknya “diraikan” jika dia tinggal di salah sebuah daripada 40 negara maju yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Ini kerana, kata presiden Muda itu, Yasin akan dianggap berpenyakit dan perlu dibantu, tetapi keadaan berbeza di Malaysia, yang menurutnya, masih menggunakan undang-undang lapuk kerana dia bakal berdepan hukuman mati atas kesalahan menggunakan kanabis bagi tujuan perubatan

“Sebagai penggubal undang-undang, saya bertanggungjawab untuk memastikan undang-undang negara mengikut perkembangan arus masa. Tetapi malangnya dalam bab ini undang-undang berkaitan kanabis tidak diperbaharui, sudah nak 70 tahun kita tak perbaharui undang-undang ini. Kita (negara) ambil perkara ini sebagai perkara kecil.

“Kalau saudara Yasin berada di lebih 40 negara maju lain, dia tidak akan duduk dalam lokap, kena tunggu berbulan-bulan (bicara), tetapi dia akan diraikan, perbuatan dia akan dilihat sebagai penyakit, akan dibantu, bukan dimasukkan ke dalam lokap.”

Syed Saddiq berkata demikian selepas hadir memberi sokongan moral kepada penyanyi dan komposer itu yang dibicarakan atas tuduhan menanam dan mengedar pokok disyaki ganja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya.

Beliau berkata, perjuangan berhubung isu penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan bukan hanya disebabkan Yasin, tetapi ada ramai pesakit di Malaysia yang memerlukan pembelaan sama.

“Ini bukan melibatkan saudara Yasin seorang, ada ramai lagi yang akan melalui perkara sama. Tak dapat pembelaan sewajarnya, kena masuk lokap, ada tuduhan jenayah. Apa salah mereka? Salahnya hanya kerana mereka mengambil kanabis itu untuk tujuan perubatan.”

Pada 31 Mac lalu, Yasin didakwa mengedar ganja dianggarkan seberat 214g di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada 5.30 petang 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati, dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada hari sama, Yasin mengaku tidak bersalah atas tuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang disyaki ganja atau kanabis pada tarikh, masa dan tempat sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6B (3) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq mempersoalkan kerajaan yang sering menjadikan badan kesihatan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tempat rujukan, tetapi tidak mengikut cadangan disyorkan WHO untuk mengeluarkan kanabis daripada senarai dadah.

“Mereka ini bukan kumpulan yang mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata. Kedua, sudah tiba masanya Malaysia mengikut langkah lebih 40 negara di seluruh dunia dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.

“Langkah yang diambil di negara lain ini juga perlu dilihat sebagai dorongan untuk kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera. Malah badan kesihatan dunia seperti WHO juga mengiktiraf penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan sebagai alternatif kepada pesakit.”

Katanya, beliau sudah menemui Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan isu itu, termasuk mencadangkan kuasa diberikan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memberi pertimbangan lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis.

“Malah, hakim-hakim juga perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan. Hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan memerlukan mereka mencari perubatan alternatif seperti kanabis dan hem.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.