
Pendengaran untuk mencabar pembebasan isteri mangsa, Ling Hang Tsyr, kerana bersubahat ditetapkan esok.
Permintaan ibu bapa Wong Jing Kui ialah untuk membenarkan mereka mengemukakan lebih banyak data dan bukti.
Wong Tiew Ming dan Law Boh Ing mahu lebih banyak masa untuk melakukan “kerja menyeluruh” memandangkan isteri Jing Kui adalah benefisiari dan pentadbir harta pusaka suaminya.
“(Kami memohon) kepada mahkamah untuk menangguhkan pendengaran kes itu bagi memberi masa untuk mengkaji kes dengan betul dan mengemukakan petisyen dengan bukti baharu,” kata mereka dalam surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Surat bertarikh 23 April itu turut ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Peguam Negara, Idrus Harun.
Wong dan Law berkata, penerimaan bukti baharu perlu dibenarkan jika ia disebabkan “kelemahan polis, pendakwa raya dan hakim tertentu”.
“Ia akan menyebabkan ketidakadilan besar kepada semua pihak, khasnya mangsa yang tidak bersalah, jika bukti relevan untuk membetulkan salah faham pendapat kehakiman atau penghakiman yang membantu pembebasannya tidak diterima,” menurut surat itu.
Jing Kui dibunuh di Sibu, Sarawak pada 2012.
Ling dan teman lelakinya, Tiong King Guan, pada mulanya didakwa bersubahat dalam pembunuhan Jing Kui, dengan Ling dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Sibu pada 2017.
Wanita itu dibebaskan dua tahun kemudian dan Tiong masih bebas.