Dokumen Yawas bukan bawah OSA, dakwa Jamal Yunos

Dokumen Yawas bukan bawah OSA, dakwa Jamal Yunos

Pemimpin bahagian Umno itu bertanya kenapa Teresa Kok membangkitkan perkara itu sekarang, sedangkan saman fitnah sivil terhadapnya masih dibicarakan di mahkamah.

Jamal Yunos bercakap kepada wartawan di luar IPD Sentul.
KUALA LUMPUR:
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos menolak dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bahawa beliau memperoleh dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Jamal mendakwa dokumen yang diperolehinya itu bukan di bawah OSA ketika membuat laporan kepada pihak berkuasa pada 2017 berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membabitkan Kok.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Kok membangkitkan perkara itu sekarang sedangkan saman fitnah sivilnya berhubung dakwaan Jamal itu masih dibicarakan di mahkamah.

Kok yang juga bekas menteri persekutuan, memfailkan saman fitnah itu terhadap Jamal pada 2017, selepas pemimpin Umno itu didakwa memfitnahnya dengan mendakwa beliau menyalahgunakan dana Yawas.

“Peguam saya sudah memfailkan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan pengesahan berhubung klasifikasi dokumen itu,” kata Jamal kepada wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Jamal hadir untuk memberi keterangan kepada polis, selepas Kok membuat laporan terhadapnya minggu lalu atas dakwaan memiliki dokumen OSA, yang dikemukakannya kepada mahkamah untuk perbicaraan.

Peguam Hafiz Norkhan yang mewakili Jamal menegaskan dokumen kerajaan tidak boleh diklasifikasikan di bawah OSA sesuka hati.

“Belum ada sebarang kenyataan rasmi berhubung pewartaan dokumen itu di bawah OSA. Jika benar ia sudah diwartakan, tentunya ada maklum balas (daripada kerajaan negeri).”

Sementara itu, Jamal berkata, beliau akan membuat laporan baharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan kerana mendakwa agensi anti-rasuah itu menghentikan siasatan awal ke atas dakwaannya membabitkan Yawas.

Minggu lalu, ketua polis Daerah Sentul mengesahkan pihaknya sedang menyiasat Jamal atas dakwaan memiliki “dokumen bocor” yang diklasifikasikan di bawah OSA.

Kok membuat laporan polis pada 7 Mei lalu selepas Jamal mengemukakan dokumen “rahsia” itu kepada peguamnya berhubung kes saman fitnah sivil itu.

“Dokumen bocor” itu termasuk minit mesyuarat berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2016, satu laporan buku tunai, penyata pelarasan bank Pejabat Daerah dan mesyuarat maklum balas mengenai sistem penyelarasan SMUE.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.