Cebisan anggota badan dipercayai pendaki wanita hilang di Gunung Suku ditemui

Cebisan anggota badan dipercayai pendaki wanita hilang di Gunung Suku ditemui

Menurut bomba, cebisan anggota badan itu ditemui pada 4.30 petang semalam.

Anggota bomba dan polis membawa keluar sebahagian anggota badan dipercayai seorang daripada dua wanita yang hilang dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands kelmarin.  (Gambar Bernama)
IPOH:
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam menemui cebisan anggota tubuh manusia dipercayai seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai, pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak Muhammad Shahrizal Aris berkata, cebisan anggota badan itu ditemui pada 4.30 petang.

“Bahagian anggota mana kita tidak dapat kenal pasti lagi kerana kita hanya menjumpai cebisan anggota badan sahaja di lokasi penemuan kedua (separuh anggota badan mangsa ditemui di bawah timbunan kayu) semalam (Isnin),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Shahrizal berkata, operasi SAR dihentikan sementara pada 5.30 petang disebabkan faktor cuaca serta keadaan semakin gelap dan operasi akan disambung semula pada pukul 8 pagi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Komander Operasi Bomba Perak Umrani Che Mat pula berkata, pasukan SAR turut menemui beberapa cebisan pakaian dipercayai milik kedua-dua mangsa di sekitar lokasi kejadian pada 1.30 tengah semalam.

Umrani berkata, kedua-dua suami mangsa telah mengesahkan beberapa cebisan pakaian yang ditemui pasukan penyelamat adalah milik mangsa.

Pasukan SAR pada Isnin menemui anggota tubuh manusia dipercayai seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, Ahad lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.