
Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan dalam pertemuan sempena sambutan Hari Raya baru-baru ini.
“Dari sudut PN, kita masih dalam PN … dan PAS dalam pertemuan saya pada Hari Raya dengan presiden dan setiausaha agung, PAS tetap istiqamah dalam PN.
“Tetapi apa PAS nak buat, apa kita nak buat, ada usaha tertentu tak apalah, (asalkan) akhirnya kita duduk semeja bincang apa terbaik untuk PN dan untuk negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan.
Semalam, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS akan terus mempertahankan hubungan parti itu bersama Umno.
Katanya, agenda penyatuan ummah yang menjadi tunjang utama Muafakat Nasional (MN) lebih besar berbanding “survival” atau kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.
Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu berkata, sebagaimana ditegaskan oleh Hadi, PAS perlu sentiasa berusaha memastikan MN dan PN dapat terus bergerak, serta menjadi antara satu alternatif dalam negara berbanding Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau juga tidak akan menghalang mana-mana parti dalam PN untuk mengambil sebarang langkah dalam strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Usaha PAS, sama ada berhasil (atau tidak), saya tak dapat pastikan.
“Kami di luar walaupun sebahagian daripada PN tak tahu apa strategi (PAS) sebenarnya, untuk berterusan dengan MN atau sebaliknya.
“Tetapi tak apa, kita tak halang, kita hormati sampai tahap dapat keputusan muktamad,” katanya.