Main mercun tepi jalan sambut ‘birthday’ rakan, 5 lelaki ditahan

Main mercun tepi jalan sambut ‘birthday’ rakan, 5 lelaki ditahan

Suspek ditangkap setelah polis menjalankan soal siasat dan pengecaman video yang tular.

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bermain mercun di tepi jalan.
PETALING JAYA:
Lima lelaki ditahan hari ini selepas disyaki bermain mercun di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam, ketika meraikan hari lahir rakan mereka, Sabtu lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lima suspek berusia 30 hingga 42 tahun itu ditahan 12 tengah hari di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam.

“Suspek ditangkap setelah polis menjalankan soal siasat dan pengecaman video yang tular itu dan soal siasat masih berjalan.

“Semua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Iqbal berkata, terdahulu Ketua Polis Balai Setia Alam mengesan rakaman video bertajuk “Big Brother Birthday Celebration” di TikTok yang dimuat naik @Yogen212, 12 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati video berkenaan menunjukkan sekumpulan lelaki bermain mercun di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Setia Alam.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira 8 malam, 14 Mei lalu bagi meraikan hari lahir salah seorang rakan dikenali ‘Mustafa’.

“Mereka juga berhenti di tepi tol berkenaan untuk berjumpa rakan lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.