Kes Covid-19 naik, tapi tak membimbangkan, kata Muhyiddin

Kes Covid-19 naik, tapi tak membimbangkan, kata Muhyiddin

Pengerusi MPN itu berkata, berdasarkan laporan menteri kesihatan, 99% daripada peningkatan kes itu dalam Kategori 1 dan 2.

Muhyiddin Yassin berkata, hospital kerajaan berada dalam keadaan normal dan tidak menghadapi tekanan serius. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin berkata, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 ketika ini, tetapi ia tidak membimbangkan.

Ini kerana katanya, berdasarkan laporan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 99% daripada peningkatan kes itu adalah dalam Kategori 1 dan 2.

“Daripada laporan Khairy bentang tadi, dia kata keadaan tak bimbangkan. Hospital awam kita tidak hadapi tekanan serius, seperti normal sahaja. Saya fikir keadaan masih baik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan hari ini.

Semalam, media melaporkan 19,137 kes baharu Covid-19 dicatatkan dari 8 hingga 14 Mei lalu berbanding 8,732 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 119.2%.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menyaksikan peningkatan jumlah kes penularan tempatan sebanyak 119.6% atau 8,703 kes kepada 19,108 kes, manakala kes import kekal dengan 29 kes.

Ini menjadikan 4,475,873 kes Covid-19 dicatatkan di Malaysia sehingga kini, dengan 29,762 daripadanya kes aktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.