Hak kanak-kanak diketepikan kerana ‘mereka bukan pengundi’

Hak kanak-kanak diketepikan kerana ‘mereka bukan pengundi’

Hartini Zainudin berkata, perlindungan kanak-kanak mesti diperjuangkan orang awam kerana ia tidak akan diperjuangkan oleh penggubal dasar.

Pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin menggesa keutamaan diberikan kepada kanak-kanak kerana ‘mereka penting’.
PETALING JAYA:
Ahli politik tidak mengutamakan hak kanak-kanak kerana golongan itu bukan pengundi, kata seorang pengasas kumpulan hak kanak-kanak.

Pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin menggesa orang ramai supaya bangkit dan memperjuangkan perkara seperti ini.

“Banyak kali saya dah ulang, kanak-kanak tidak mengundi, jadi (mereka) bukan keutamaan,” katanya kepada FMT.

Justeru inilah sebabnya orang ramai memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak kanak-kanak, katanya.

Orang ramai adalah “benteng harapan terakhir untuk kanak-kanak”.

“Dari segi perlindungan kanak-kanak, orang awam (yang mesti memperjuangkannya) kerana penggubal dasar tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Hartini berkata, ibu bapa sering dipertanggungjawabkan atas perkara itu.

“Tetapi kita lupa, jika ibu bapa kehilangan pekerjaan seperti yang anda lihat semasa wabak atau ibu bapa tidak dapat membaiki keadaan hidup masing-masing, maka bagaimana mereka dapat lindungi anak-anak?”

Katanya, mentaliti “kita lawan mereka” akan berkembang dengan ibu bapa akan dipersalahkan kerana tidak dapat menjaga anak mereka sendiri.

Aktivis yang telah memperjuangkan hak kanak-kanak selama 42 tahun itu berkata, membesarkan anak-anak memerlukan usaha semua pihak.

“Ini bukan sahaja tentang kanak-kanak, tetapi apa yang diwakilinya. Ia mengenai nilai kemasyarakatan, tentang bagaimana kita lihat kanak-kanak, tentang melabur untuk masa depan. Masa depan bukan sahaja tentang persekitaran, masa depan adalah kanak-kanak,” katanya.

Apabila ditanya apakah yang ingin disuarakannya kepada pihak yang memegang kuasa, Hartini menggesa supaya ia menjadikan kanak-kanak sebagai keutamaan kerana “mereka penting”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.