Buat ‘live’ sidang media, MCA gantung ketua bahagian Pontian 5 tahun

Buat ‘live’ sidang media, MCA gantung ketua bahagian Pontian 5 tahun

Tee Siew Kiong mengesahkan sudah menerima surat makluman penggantungan pada 13 Mei lalu.

Tee Siew Kiong diberi masa 14 hari untuk membuat rayuan berhubung penggantungan keahliannya. (Gambar MCA)
PETALING JAYA:
Seorang ketua bahagian MCA mendakwa hukuman penggantungan keahlian selama lima tahun adalah tidak masuk akal, sebaliknya ia dibuat mengikut kehendak pemimpin tertinggi parti itu.

Ketua Bahagian MCA Pontian, Tee Siew Kiong, mendakwa tindakan penggantungan itu lebih bersifat dendam peribadi Presiden MCA, Wee Ka Siong terhadapnya.

Beliau yang juga bekas exco pelancongan, perdagangan dan kepenggunaan Johor berkata, tindakan itu tidak melibatkan pihak lain.

Tee mengesahkan keahliannya dalam parti digantung selama lima tahun berkuatkuasa serta-merta selepas menerima surat makluman perkara itu pada 13 Mei lalu.

“Saya tidak sangka akan dikenakan tindakan tegas sedemikian kerana ada ahli parti lain yang melakukan kesalahan sama hanya digantung keahlian antara setengah tahun atau tiga tahun.

“Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas kejadian mengadakan ‘live’ dan sidang media semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja,” katanya menurut laporan Kosmo.

Katanya, sumber dalaman parti memberitahu, jawatankuasa tatatertib MCA pada asalnya mencadangkan untuk menggantung keahlian hanya selama satu tahun setengah.

“Namun, keputusan itu diubah secara tiba-tiba selepas presiden pulang dari luar negara dan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi,” katanya.

Tee turut berkata, pihaknya diberi masa 14 hari untuk membuat rayuan namun beliau akan mendapatkan pandangan beberapa pihak sebelum membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.