
Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fadzi Paharuddin, berkata pengumuman hasrat untuk bertanding di mana-mana tempat merupakan perkara biasa setiap kali menjelang PRU.
Bagaimanapun, katanya, pengumuman seumpama itu hanya bersifat peribadi dan tidak melibatkan parti.
“Memanglah masing-masing ada merasakan kelayakan untuk bertanding di sini, di situ dan akhirnya yang buat keputusan pimpinan tertinggi parti,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Sabtu lalu, Wan Fayhsal memberi bayangan mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai pada PRU15.
Menurutnya, Parlimen Bagan Serai antara kerusi berpotensi untuk beliau bertanding selain di Kelantan, namun perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.
“Dari segi kecenderungan, sememangnya saya memberi fokus untuk berada di sini selain Kelantan yang juga kawasan berpotensi saya untuk bertanding.
“Tapi, terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti kerana siri rundingan masih belum selesai antara PAS, Bersatu dan Gerakan,” katanya.
Wan Fayhsal berkata, beliau juga menghormati pendirian Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat Bagan Serai yang telah menghantar memorandum kepada pimpinan mereka mendesak Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding Parlimen Bagan Serai.
Ketika ini Ahli Parlimen Bagan Serai ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, yang menyertai Bersatu pada November 2018, selepas lima bulan menjadi wakil rakyat bebas.