Sultan Johor terima laporan interim kes Pulau Batu Puteh

Sultan Johor terima laporan interim kes Pulau Batu Puteh

Laporan ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan itu adalah bagi menyemak isu dan tindakan perundangan kes terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas berkenaan Mohamed Apandi Ali mempersembahkan laporan interim berhubung kes Pulau Batu Puteh kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo, Johor Bahru, semalam. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
PETALING JAYA:
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Pasukan yang ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan itu adalah bagi menyemak isu dan tindakan perundangan kes terbabit, menurut laporan Bernama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama dengan Pengerusi Pasukan Petugas Khas berkenaan Mohamed Apandi Ali mempersembahkan laporan itu serta taklimat kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo, Johor Bahru.

Pada 29 Okt lepas, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas itu ekoran keputusan kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tahun lepas, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah bahawa keputusan itu seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di ICJ walaupun ada penemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?” soal baginda dalam kenyataan.

Pada pertemuan semalam, Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum.

“Ini soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak mengetahui mengapa kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengambil keputusan sedemikian,” kata baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.