Anggota tubuh terpisah, bomba temukan mayat pendaki mangsa kepala air

Anggota tubuh terpisah, bomba temukan mayat pendaki mangsa kepala air

Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah, manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas, kata bomba.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemui di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi tadi. (Gambar JBPM)
IPOH:
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemui anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemui di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

“Kita telah menjumpai separuh anggota badan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti lagi milik siapa dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) telah membawa turun anggota badan itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

“Anggota badan itu ditemui di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki yang ditemui petang semalam. Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah, manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun, iaitu di kawasan atas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari ini bergantung kepada faktor cuaca, iaitu operasi akan berhenti sementara sekiranya hujan.

Shahrizal berkata, seramai 53 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak serta Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands.

Terdahulu, kelihatan pasukan SAR membawa keluar anggota badan berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan oleh arus deras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.