7 hakim boleh dipertimbang isi 2 jawatan tertinggi

7 hakim boleh dipertimbang isi 2 jawatan tertinggi

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf akan bersara pada November manakala Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed pula pada Oktober.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf dan Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed akan bersara wajib dalam tempoh beberapa bulan lagi.
PETALING JAYA:
Sekurang-kurangnya tujuh hakim Mahkamah Persekutuan boleh dipilih untuk mengisi jawatan presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Malaya yang kosong tidak lama lagi, iaitu jawatan pentadbiran kedua dan ketiga paling kanan dalam badan kehakiman.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf akan bersara pada November manakala Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed pula pada Oktober.

Kedua-duanya akan mencapai usia 66 tahun, iaitu umur persaraan wajib bagi hakim namun mereka diberikan lanjutan tempoh enam bulan lagi oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan senioriti, mereka yang boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat itu adalah Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Hasanah Mohammed Hashim, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Nalini, Rahman, Zabariah dan Hasnah akan bersara pada 2025, Lim lewat tahun depan dan Harmindar pada 2024. Rhodzariah akan bersara 2027.

Mengikut prosedur, sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat akan bermesyuarat untuk mencadangkan nama yang akan dihantar ke pejabat perdana menteri.

Seperti dikehendaki bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik hakim berdasarkan nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Seorang hakim bersara berkata, kriteria pemilihan itu termasuk integriti, kecekapan, pengalaman, kebolehan membuat pertimbangan tepat pada masanya dan kemahiran menulis yang baik akan diambil kira.

“Sudah tentu senioriti adalah faktor yang akan dipertimbangkan untuk memegang mana-mana jawatan pentadbiran,” kata hakim yang tidak mahu namanya disiarkan itu.

Hakim yang maklum berhubung proses pelantikan itu berkata, Akta JAC juga menyediakan peruntukan bagi perdana menteri meminta dua lagi nama untuk dipertimbangkannya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berkata, terdapat kemungkinan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan Rhodzariah, seorang rakyat Sarawak, mengisi jawatannya sekarang.

“Hakim Malaysia Timur tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana dua daripada mereka boleh memegang jawatan kanan pentadbiran,” katanya.

Sri Ram berkata, hakim wanita yang lain, iaitu Nallini, Zabariah, Hasnah dan Lim boleh dipertimbangkan untuk jawatan hakim besar Malaya

“Bagaimanapun, keputusan akhirnya terletak pada JAC dan ketua hakim negara adalah pihak terbaik untuk menentukan siapa calon terbaik bagi setiap jawatan,” katanya.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, perdana menteri mesti memberikan alasan sekiranya beliau meminta nama tambahan selain yang diberikan oleh JAC.

“Jika nama itu ditolak, pejabat perdana menteri mesti memberikan penjelasan untuk diketahui umum,” katanya.

Salim berkata, ini kerana Akta JAC memberi kuasa kepada perdana menteri untuk melantik empat orang terkemuka ke dalam suruhanjaya itu bagi menyokong pandangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.