Tentangan terhadap sindiket sekat pengambilan pekerja Bangladesh

Tentangan terhadap sindiket sekat pengambilan pekerja Bangladesh

Agensi di Dhaka membentuk perikatan menentang sindiket di mana hanya 25 syarikat dibenarkan oleh Malaysia untuk mengendalikan pengambilan pekerja.

Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian mengenai pengambilan pekerja lebih lima bulan lalu.
PETALING JAYA:
Tentangan kuat daripada agensi pengambilan pekerja Bangladesh dilaporkan menyekat kemajuan kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia lima bulan selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian buruh.

Agensi-agensi di Dhaka berkata, mereka telah membentuk perikatan menentang sindiket di mana hanya 25 syarikat dibenarkan oleh Malaysia untuk mengendalikan pengambilan pekerja.

Jurucakap perikatan anti-sindiket itu, Shameen Ahmed Chowdhury berkata, dua individu terkemuka, seorang di Malaysia dan seorang lagi di Dhaka, yang mempunyai rangkaian yang kuat cuba memastikan hanya 25 agensi terpilih dibenarkan mengambil pekerja.

Katanya, perikatan itu telah menyerahkan memorandum kepada kerajaan mengulangi tuntutan mereka supaya semua 1,530 ahli perikatan itu dibenarkan mengambil pekerja untuk Malaysia.

“Pasaran buruh Malaysia mesti dibuka kepada semua agensi yang sah di Bangladesh selaras dengan Akta Persaingan tempatan yang tidak membenarkan sebarang bentuk monopoli,” katanya.

“Ia juga bercanggah dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bahawa semua agensi harus dibenarkan mengambil pekerja. Kami bersatu dalam pendirian ini dan saya percaya kerajaan Bangladesh sehaluan dengan kami,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Shameen berkata, Malaysia memberitahu kerajaan Bangladesh bahawa setiap daripada 25 agensi yang dilantik akan dibenarkan melantik 10 yang lain untuk membawa masuk pekerja.

Bagaimanapun, Bangladesh tidak bersetuju kerana ia akan mencetuskan monopoli, kata Shameen.

Menteri Bangladesh bagi pekerjaan di luar negara berkata menerusi saluran televisyen nasional, kerajaannya tidak akan bersetuju untuk membenarkan hanya 25 agensi pengambilan mengawal pasaran.

Shameen berkata, Malaysia mendapatkan pekerja dari 13 negara tetapi had agensi pengambilan hanya diamalkan di Bangladesh.

Katanya, had itu akan mendorong berulangnya amalan “rasuah” lama yang memaksa kerajaan Malaysia menghentikan kemasukan pekerja asing pada 2018.

Menurut Shameen, satu lagi mesyuarat jawatankuasa kerja bersama antara kedua-dua negara dijadualkan pada 25 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.