Kerajaan Selangor bincang penutupan taska, tadika susulan penularan HFMD

Kerajaan Selangor bincang penutupan taska, tadika susulan penularan HFMD

Jangkitan HFMD di negeri itu merekodkan kes mingguan melebihi paras amaran, sejak 7 Mei.

Penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian susulan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bergantung sepenuhnya kepada tindakan dan saranan jabatan kesihatan negeri, kata Menteri Besar Amirudin Shari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan khas bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung kemungkinan penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di negeri itu, susulan peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata setakat ini beliau belum memperoleh maklumat terperinci dan laporan terbaharu mengenai penyakit terbabit.

“Kita akan bermesyuarat dengan JKNS minggu ini bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD.

“Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sehingga 7 Mei, jangkitan HFMD di Selangor berjumlah 6,748 kes dengan kes mingguan melebihi paras amaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman dilaporkan, berkata daripada bilangan berkenaan, 4% daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya akan meminta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi membincangkan isu berkenaan kelak.

“Bagaimanapun, ia bergantung sepenuhnya kepada tindakan dan saranan lanjut oleh JKNS kelak.

“Kita tahu kes penyakit berjangkit amat membimbangkan dan berharap ia terkawal,” katanya.

Beliau berkata, sesi mesyuarat khas itu turut akan memfokuskan isu Covid-19, denggi dan penyakit rabies.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.