
Menurut Fahmi, hampir semua syarat-syarat telah diputuskan oleh pasukan Najib termasuk format, soalan, lokasi dan tidak boleh menyentuh isu mahkamah.
“Pasukan Najib tak nak kami bincangkan (1MDB), diputuskan awal tak boleh bincang hal dalam mahkamah.
“Jadi, ada yang kata kenapa Anwar ‘did not deliver the killer blow?’. Sebab malam itu hampir semua batas-batas itu diletakkan oleh pasukan Najib,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Pemilihan PKR Wilayah Persekutuan di Dewan Gasing Indah, Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi berpandangan soalan diajukan kepada dua figura politik itu seharusnya datang daripada orang awam dan bukannya wakil pihak masing-masing.
“Tetapi apapun bagi saya debat itu adalah permulaan yang baik. Kali terakhir kita debat perdana seperti ini adalah pada 2008, jadi dah 14 tahun, agak lama. Saya harap lepas ini akan ada lebih banyak debat contohnya, antara perdana menteri dengan ketua pembangkang.
“Itu bagi saya satu acara yang sudah pasti akan sangat dinanti-nantikan. Cuma saya harap format tidak sama dan kekangan-kekangan, yang bagi saya menunjukkan rasa takut pihak sebelah sana terhadap Anwar,” katanya.
Dalam sesi debat perdana, ketua pembangkang mencadangkan supaya audit forensik dibuat terhadap Sapura Energy Berhad (SEB) dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.
Ketika ditanya adakah cadangan Anwar sekadar berakhir dalam debat, Fahmi berkata perkara itu terserah kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan sama ada ia akan dilaksanakan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, bagi pihak pembangkang, Fahmi yakin syor tersebut akan dibawa pada sesi Parlimen akan datang.
“Sudah pasti akan ada yang bawa termasuk isu Forex yang dibangkitkan oleh Najib,” katanya.
Sementara itu, dalam pemilihan PKR kawasan Lembah Pantai yang berlangsung pagi tadi menyaksikan pasukan Fahmi menang tanpa bertanding tanpa dicabar mana-mana pihak.
“Secara teknikal, saya dah ahli jawatankuasa sudah menang tanpa bertanding. Pemilih hari ini akan mengundi jawatan pusat.
“Setakat ini tak ada aduan tentang teknikal…Saya berpuas hati dengan cara Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengurus pemilihan hari ini dan berdasarkan apa yang saya saksikan,” katanya.