
ADUN Batu Lintang See Chee How daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata, Sarawak tidak boleh menunggu lagi untuk menubuhkan dana itu.
Katanya, terlalu banyak masa telah dibazirkan dengan kajian dan tidak cukup usaha benar-benar dilakukan untuk menubuhkan dana itu sejak pertama kali idea itu dibincangkan seawal 2014.
Kenyataannya dibuat berikutan laporan bahawa Abang Johari kini berada di Norway untuk mengkaji bagaimana negara itu menguruskan dana kekayaannya.
Beliau berkata, Sarawak akan melibatkan diri dengan Norway dalam usaha bersungguh-sungguh untuk membentuk dan mengurus dana kekayaan berdaulat negeri itu sendiri.

“Enam bulan lepas, beliau memberitahu kami sekumpulan pakar sedang mengkajinya. Kita seolah-olah asyik mengkajinya. Sementara itu, sumber minyak dan gas kita dengan cepat semakin berkurangan,” katanya.
Beliau berkata rizab minyak dan gas negeri itu boleh habis sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun. Bagaimanapun, jika dana itu diwujudkan segera, negeri akan dapat menjana wang dalam tempoh dua tahun.
Kajian mengenai dana kekayaan itu dimulakan oleh ketua menteri terdahulu, Allahyarham Adenan Satem, sebelum beliau meninggal dunia pada Januari 2017. Kajian itu berakhir apabila Adenan meninggal dunia.
See berkata, dana itu harus bebas daripada politik dan diletakkan bawah skop Dewan Undangan Negeri.