Pengawal keselamatan tengking, rampas telefon wartawan di UTC dikecam

Pengawal keselamatan tengking, rampas telefon wartawan di UTC dikecam

Muda menjelaskan, wartawan menjalankan tugas mereka demi kepentingan orang ramai dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.

Ketua Penerangannya, Muda Luqman Long turut melahirkan kebimbangan terhadap rakan media yang bertugas jika kejadian sebegini berlaku lagi.
KUALA LUMPUR:
Muda hari ini menyelar tindakan pengawal keselamatan Jabatan Imigresen yang mengugut dan menakut-nakutkan pemberita yang melakukan tinjauan mengenai isu beratur panjang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu Sentral, di sini pagi tadi.

Ketua Penerangannya, Muda Luqman Long berkata, wartawan menjalankan tugas mereka demi kepentingan orang ramai dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.

“Anda tidak boleh menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka di kawasan awam seperti (UTC). Selagi mereka mempunyai pas media, mereka harus dibenarkan melakukan kerja mereka.

“Sebarang bentuk ugutan dan gangguan terhadap wartawan adalah salah. Saya bimbang dengan keselamatan rakan media kami yang bertugas jika kejadian sebegini berlaku lagi,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, dua wartawan portal berita The Vibes mendakwa mereka diganggu oleh seorang pengawal keselamatan yang mengarahkan mereka meninggalkan premis itu.

Wartawan berkenaan memuat naik video pengawal keselamatan menjerit sekuat-kuatnya, menuntut mereka segera meninggalkan kawasan di luar pejabat imigresen di UTC, di mana orang ramai beratur sejak awal pagi tadi.

Salah seorang pemberita kemudian dilihat dalam video itu bertanya kepada orang ramai sama ada mereka telah menunggu lebih lima jam dan mereka yang sedang beratur kemudian mengangkat tangan. Video itu terganggu apabila telefon milik wartawan lain, yang merakam tempat kejadian dirampas pengawal yang sama.

Gerakan Media Marah (Geramm), sebuah kumpulan aktivis wartawan, turut mengecam tindakan pengawal keselamatan itu.

Dalam catatan Facebook, mereka berkata, isu itu boleh diselesaikan secara profesional tetapi sebaliknya pengawal berkenaan telah melakukan intimidasi dan pencerobohan dengan mengambil telefon wartawan.

Geramm berkata, perlu ada undang-undang jenayah ke atas sebarang tindakan ugutan dan pencerobohan terhadap petugas media.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan, Farah Marshita Abdul Patah berkata, langkah serius diperlukan untuk melindungi hak wartawan di negara ini.

“Wartawan berhak melaporkan fakta tanpa halangan daripada sesiapa. Kami menggesa semua pihak berhenti mengganggu pemberita semasa mereka menjalankan tugas.

“Jika kita dihalang daripada menjalankan tugas yang diberikan, suara rakyat tidak akan kedengaran di luar sana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.