
Pada masa sama, AGC beranggap kepentingan awam lebih terjamin dengan mengenakan kompaun berjumlah RM16 juta terhadap SDHB, ketua pegawai eksekutifnya, Abdul Karim Abdullah, pengarah eksekutif Syed Nazim Syed Faisal, ketua pegawai kewangan kumpulan Azhan Azmi dan naib presiden (akaun dan kewangan) Hafiz Othman.
Terdahulu, SDHB dan empat pegawai itu dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mereka menyelesaikan denda berkenaan.
SDHB dan empat eksekutif itu dikenakan kompaun RM3 juta setiap seorang. Hafiz juga dikenakan kompaun tambahan RM1 juta kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat itu.
“Prosiding jenayah terhadap SDHB tidak sesuai atau tidak wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku,” menurut kenyataan AGC.
AGC berkata, pada masa ini SDHB berhadapan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerjanya, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain.
“Keputusan mengenakan kompaun atas kesalahan SDHB adalah satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes ini.
“Tindakan ini akan membolehkan SDHB memberi fokus bagi memperbetulkan kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang sebelum ini, pernah dan jelas mematuhi tanpa kesilapan,” katanya.
Tahun lalu, SDHB dan empat eksekutif itu menuntut untuk dibicarakan atas pertuduhan mengemukakan penyata palsu kepada Bursa Malaysia mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.
Tuduhan mengemukakan penyata palsu berhubung hasil RM6.014 bilion terkandung dalam Laporan Suku Tahunan SDHB mengenai Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Dis 2020.
Siasatan terhadap SDHB dilakukan pada Mei 2021 selepas SC menerima laporan daripada KPMG.