Mengimbau rusuhan 13 Mei

Mengimbau rusuhan 13 Mei

Penduduk di Petaling Jaya, Ernest Cheong menceritakan pengalamannya ketika rusuhan kaum tercetus 53 tahun lalu, selepas pilihan raya 1969.

Aktivis sosial Chandra Muzaffar (kiri) berkata, langkah yang diambil selepas insiden 13 Mei adalah perlu untuk negara mara, tetapi sejarawan Azmi Arifin berpendapat masih ada ‘jurang’ perpaduan yang perlu diatasi.
PETALING JAYA:
Ernest Cheong masih ingat berada di rumah teman wanitanya di Pudu pada petang 13 Mei 1969.

Hari itu tidak ubah seperti hari lain sehingga abang teman wanitanya pulang ke rumah dengan berita pergaduhan yang tercetus di Chow Kit. “Baik kamu pulang,” katanya kepada Cheong.

Namun Cheong yang kini berusia 77 tahun berkata, beliau ketika itu menganggapnya sekadar pergaduhan gengster.

Beliau tidak pulang ke rumahnya di Petaling Jaya, sebaliknya Cheong dan teman wanitanya menonton wayang di Bukit Bintang. Bagaimanapun, tayangan filem dihentikan separuh jalan dan semua penonton dimaklumkan bahawa Kuala Lumpur dikenakan perintah berkurung dan semua orang terpaksa pulang.

Pasangan itu cuba pulang ke Pudu, tetapi dihalang oleh polis. Begitu juga ketika cuba pulang ke Petaling Jaya, anggota polis meminta mereka berpatah balik kerana terlalu banyak pembunuhan berlaku di kawasan itu.

Akibatnya mereka terpaksa berlindung di rumah seorang rakan di Jalan Klang Lama selama empat hari sehingga rusuhan 13 Mei berakhir.

Menurut rekod rasmi, 196 orang maut dalam pertempuran antara orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi anggaran tidak rasmi meletakkan angka korban antara 800 atau 1,000 orang.

Rusuhan itu, yang masih dianggap terburuk dalam sejarah Malaysia, membawa banyak perubahan kepada negara ini. Darurat diisytiharkan, dasar tindakan afirmatif serta Rukun Negara diperkenalkan. Perdana menteri ketika itu, iaitu Tunku Abdul Rahman kemudiannya meletak jawatan.

Aktivis sosial, Chandra Muzaffar berkata, satu perubahan besar yang berlaku susulan rusuhan 13 Mei adalah pindaan Perlembagaan pada 1971 bagi mengekang ucapan provokatif yang mencetuskan ketegangan kaum menjelang pilihan raya umum 1969.

“Hampir semua isu dibangkitkan dalam kempen pilihan raya. Antara lain hak istimewa orang Melayu dan kerakyatan orang bukan Melayu dipersoalkan. Keadaan memang panas.

“Pindaan Perlembagaan menamatkan semua itu. Pada asasnya, ia mewujudkan sempadan yang saya percaya adalah penting bagi mana-mana negara berbilang kaum.”

Katanya, keputusan melarang perdebatan isu tertentu seperti hak istimewa orang Melayu serta Orang Asal Sabah dan Sarawak, selain kerakyatan dan hak komuniti lain membolehkan negara bangkit semula selepas rusuhan berdarah itu.

Sementara itu, sejarawan Azmi Arifin dari Universiti Sains Malaysia berkata, masih banyak yang perlu dilakukan memandangkan terdapat “jurang” dalam perpaduan rakyat 53 tahun selepas peristiwa itu.

Katanya, parti politik mesti beralih daripada politik serta dasar berasaskan kaum, tetapi beliau turut mengakui ada beberapa dasar baik yang diwujudkan selepas 13 Mei, namun ada yang perlu disemak semula dan disesuaikan dengan masa kini.

“Pada masa sama, rakyat perlu memainkan peranan kerana merekalah yang berkuasa menentukan siapa menjadi kerajaan,” katanya dengan menambah bahawa sukar untuk mengubah sikap ahli politik, selagi orang awam turut menerima politik perkauman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.