
Peguam Haniff Khatri Abdulla bimbang orang ramai mungkin berpandukan maklumat tidak tepat di internet dalam membuat kesimpulan mengenai badan kehakiman dan penghakimannya.
“Tiba masanya AGC menjelaskan dan membetulkan sebarang maklumat tidak tepat yang diterima orang awam,” katanya kepada FMT.
Tiada keperluan dari segi undang-undang untuk AGC menjelaskan penggunaan budi bicaranya dalam kes jenayah.
Bagaimanapun Haniff mencadangkan agar AGC mengeluarkan “kenyataan yang betul dan konsisten” melalui biro komunikasinya bagi menghapuskan keraguan sama ada ia menjalankan tugasnya dengan adil.
Beliau mengulas gesaan Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet supaya kerajaan menunjukkan ketelusan susulan peletakan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Syed Zaid Albar, beberapa hari selepas tuduhan jenayah terhadap empat eksekutif syrikat Serba Dinamik Holdings Bhd digugurkan.
Lim turut memetik kes Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang dilepaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2 juta selepas membayar kompaun RM1.1 juta walaupun hukuman maksimum kesalahan itu adalah penjara lima tahun atau denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya.
Lim berkata, sekurang-kurangnya pihak berkuasa perlu menjelaskan kepada umum kenapa keputusan memberi kompaun dibuat, bukannya meneruskan prosiding undang-undang.
Sementara itu Haniff berkata, sekiranya undang-undang membenarkan kompaun untuk kesalahan tertentu, AGC bertanggungjawab menggunakannya, bukan terus mendakwa seseorang di mahkamah.
“Jika tertuduh tidak menerima kompaun atau merayu terhadapnya, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Peruntukan kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) membenarkan perbuatan jenayah diselesaikan di luar mahkamah menerusi bayaran denda yang dipersetujui oleh timbalan pendakwa raya.
Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir berkata, budi bicara untuk sama ada memulakan atau menghentikan prosiding jenayah terletak pada AGC seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur Jenayah.
“Tiada tanggungjawab jelas untuk AGC memberi alasan atas penggunaan budi bicara itu, namun wajar sekiranya ia dilakukan bagi mengelakkan kebimbangan orang ramai mengenai amalan berat sebelah,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, adalah lebih bijak jika AGC menjelaskan kepada umum sekiranya persetujuan dicapai antara pendakwaan dan tertuduh bagi menunjukkan bahawa terma yang dipersetujui itu menggambarkan keseriusan jenayah yang dilakukan.