5 pelajar rentung: Permit, lesen pengendali treler boleh digantung

5 pelajar rentung: Permit, lesen pengendali treler boleh digantung

JPJ berkata siasatan polis akan menentukan sabitan kesalahan bawah Seksyen 41(1) Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah.

Lima pelajar Usas rentung dalam nahas apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan treler membawa muatan mozek dan besi pagar di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh menggantung atau membatalkan permit dan lesen pengendali treler jika ia didapati bersalah dalam kemalangan mengakibatkan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) di Kuala Kangsar maut semalam.

Dalam kenyataan JPJ berkata, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil berdasarkan peruntukan bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

“Sekiranya hasil siasatan daripada Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan JPJ, permit lesen pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lima pelajar Usas maut selepas terlibat dalam kebakaran kereta dan treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, tengah malam semalam.

Mangsa yang terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Dalam kejadian sekitar 12.52 tengah malam itu, semua mangsa rentung apabila kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Dalam pada itu, JPJ berkata, siasatan polis akan menentukan sabitan kesalahan bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ ke atas pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah.

Katanya, pemandu terbabit akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh ditentukan mahkamah.

“Untuk makluman, hasil semakan dalam pangkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

“Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.