
Goh Gaik Kim yang berkhidmat dengan 1MDB sejak 2011 hingga 2016 menafikan dakwaan sebelum ini bahawa dia adalah ibu saudara Low.
“Saya boleh katakan secara mutlak saya bukan ibu saudaranya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya,” katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohamed.
Wan Aizuddin bertanyakan kepadanya mengenai dakwaan itu yang timbul ketika perbicaraan kes SRC yang dihadapi Najib bahawa Goh adalah adalah adik kepada ibu Low, Goh Gaik Ewe.
Nama Gaik Kim disebut oleh peguam Harvinderjit Singh ketika pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi SRC Ismee Ismail.
Dia bertanyakan sama ada beliau tahu Gaik Kim adalah adik kepada Gaik Ewe. Ismee memberitahu dia tidak tahu.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga mempertahankan Gaik Kim dengan berkata, wanita itu telah memaklumkan kepada kementerian bahawa dirinya tidak mempunyai kaitan dengan Low. Low turut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu.
Terdahulu Gaik Kim memberitahu mahkamah bahawa dia hanya pernah ternampak Low sekali sahaja “dari jauh”.
“Saya sedang makan tengah hari dengan Tan Sri Ong (Gim Huat) dan Radhi (Mohamad) di Hotel Concorde. Ong dan Radhi ternampak Jho Low dan menyapanya.
“Sebaik mereka kembali, saya tanya siapa orang itu dan mereka memberitahu dia adalah Jho Low.
“Saya bertanya sekali lagi siapa orang itu sebenarnya, namun mereka terus senyap,” katanya. Ong adalah bekas pengarah 1MDB dan Radhi adalah bekas ketua pegawai kewangan.
Wan Aizuddin: Adakah pengurusan memaklumkan kepada kamu bahawa Jho Low memainkan sebarang peranan dalam 1MDB?
Gaik Kim: Apa sahaja peranannya yang saya tahu adalah menerusi media.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah akan bersambung.