
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata suspek berumur 40 tahun itu ditahan 10 malam semasa berada dalam kenderaan Toyota Prado yang diserbu oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
“Apabila diperiksa, polis menemukan satu kotak berisi 10 plastik kecil dipercayai dadah jenis syabu seberat 10.4kg,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dadah itu dihantar dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran di Sabah, dan polis masih memburu dua individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.
Menurutnya, suspek yang didapati positif dadah jenis syabu, direman sehingga 15 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, merujuk kes seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang maut akibat ditetak datuk saudaranya di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan semalam, Jauteh berkata, suspek dipercayai menghadapi kemurungan sejak dua tahun lepas.
“Difahamkan suspek kurang diberi perhatian oleh keluarganya, dan pada hari kejadian kemurungan yang dihadapi suspek bertukar menjadi amukan kerana dipercayai marah selepas anaknya ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.
Dalam kejadian 2.40 petang itu, suspek difahamkan bertindak menetak mangsa dan ibunya di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.