
Katanya, waktu kerja terlalu panjang dalam apa bidang sekalipun akan mengurangkan produktiviti dan prestasi dalam jangka panjang.
Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu dalam jawapan bertulisnya memberitahu FMT, dalam kes melibatkan doktor, keadaan terlalu letih disebabkan bekerja akan memberi kesan buruk kepada pesakit.
“Pertama sekali, perubahan budaya diperlukan dalam profesion perubatan. Selagi waktu bekerja terlalu panjang dianggap biasa dalam komuniti perubatan, tiada apapun yang akan berubah.”
ILO berkata demikian susulan pelbagai dakwaan mengenai insiden buli terhadap doktor junior berikutan kes kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang hanya tiga minggu selepas memulakan tugasnya.
“Isu utama di sini adalah tempoh waktu bekerja doktor junior di Malaysia terlalu panjang. Tentunya waktu bekerja demikian adalah keterlaluan di banyak negara.
“Waktu bekerja yang terlalu panjang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, keseimbangan kehidupan bekerja, selain produktiviti dan prestasi individu.
“Contohnya, adalah lebih bermanfaat sekiranya Persatuan Perubatan Malaysia memberikan garis panduan (sekiranya belum ada) mengenai keadaan kerja doktor junior, termasuk berkaitan waktu bertugas dan rehat.
“Mengehadkan waktu kerja mana-mana kumpulan pekerja termasuk menetapkan dan menguatkuasakan waktu rehat sewajarnya mampu membaiki keadaan,” katanya.
Buat masa ini, waktu bekerja doktor pelatih adalah berpandukan pekeliling Kementerian Kesihatan pada 2019. iaitu dihadkan kepada 62 jam seminggu.
Bagaimanapun doktor pelatih yang dihubungi FMT berkata, mereka bertugas lebih 75 jam.