KKM ‘hidupkan semula’ pekeliling halang kakitangan bercakap kepada media

KKM ‘hidupkan semula’ pekeliling halang kakitangan bercakap kepada media

Bertajuk 'Polisi larangan', kakitangan KKM dilarang membuat apa-apa kenyataan umum, sama ada dalam bentuk lisan, bertulis atau cara lain.

Tangkap layar peringatan di papan buletin Kementerian Kesihatan di mana notis penting ditekankan setiap hari.
PETALING JAYA:
Berdepan “pendedahan” beberapa doktor junior dalam berita dan media sosial, Kementerian Kesihatan (KKM) mula memaparkan satu dasar pada 1995 di papan buletin laman webnya yang mengingatkan bahawa kakitangannya dihalang daripada membuat kenyataan umum.

Bertajuk “Polisi Larangan”, ia mengingatkan bahawa mereka dilarang daripada membuat sebarang kenyataan kepada media secara langsung atau semasa berucap dan memberi syarahan dalam forum.

Mereka juga dilarang menyiarkan pandangan mereka dalam sebarang platform yang boleh memburukkan nama kerajaan.

“Warga KKM dilarang membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada berbentuk lisan, bertulis atau apa-apa cara lain,” katanya dalam buletin di laman web itu, yang biasanya mengandungi empat atau lima perkara yang mempunyai nilai berita atau notis acara yang bakal diadakan.

Ini menyusul pelbagai laporan media yang memetik doktor pelatih dan doktor lain tidak dinamakan yang mendakwa mereka dibuli serta dihina oleh senior dan doktor pakar dalam tempoh latihan selama dua tahun.

Isu ini mendapat perhatian baru-baru ini susulan kematian seorang doktor pelatih yang terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu hanya tiga minggu selepas beliau ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.

Pada Disember 2020, seorang doktor pelatih turut meninggal dunia tiga minggu selepas meletak jawatan.

Dalam notis itu, KKM menekankan Peraturan 19(1) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), yang menyatakan penjawat awam tidak boleh membuat sebarang kenyataan yang akan memudaratkan kerajaan.

“Mereka juga dilarang membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

“Membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan.

“Memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung perjalanan fungsi kerajaan; memberikan apa-apa penjelasan berkenaan peristiwa atau laporan melibatkan kerajaan,” menurut notis itu lagi.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Nordin berkata, doktor terbabit jelas melanggar peraturan kerana kenyataan mereka merosakkan imej kerajaan.

“Jika semua orang bebas bercakap kepada media mengenai perkara dalaman, ia akan melemahkan perkhidmatan awam secara ketara. Ini adalah pelanggaran jelas dan tindakan harus diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, KKM telah menubuhkan pasukan bertindak untuk meneliti dakwaan doktor pelatih, justeru mereka perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menangani dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.