Kerajaan tak bantu asimilasi Rohingya dengan masyarakat umum, kata Kula

Kerajaan tak bantu asimilasi Rohingya dengan masyarakat umum, kata Kula

Bekas menteri sumber manusia berkata, projek perintis pada 2017 bertujuan membantu integrasi Rohingya selain bekerja dalam sektor perladangan dan pembuatan gagal.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata, kekurangan kemudahan seperti masjid dan sekolah menyumbang kepada kesukaran orang Rohingya berasimilasi dengan masyarakat setempat.
PETALING JAYA:
Projek perintis pada 2017 bertujuan membantu pelarian Rohingya meraih pendapatan di negara ini gagal disebabkan kerajaan tidak membantu golongan berkenaan berasimilasi dengan masyarakat umum, kata bekas menteri sumber manusia.

M Kula Segaran berkata, di bawah projek itu, pelarian Rohingya dihantar ke sektor perladangan dan pembuatan untuk mempelajari kemahiran selain menjana pendapatan sebelum dipindahkan ke negara ketiga.

Kula berkata, ada kes yang melihat orang Rohingya melarikan diri daripada projek berkenaan selepas hanya 50 pelarian etnik itu dihantar ke sebuah ladang menyebabkan mereka berasa tidak selamat disebabkan komuniti itu terlalu kecil.

“Kita memerlukan bilangan lebih ramai golongan itu untuk mereka rasa selamat,” katanya kepada FMT.

M Kula Segaran.

Beliau percaya kekurangan kemudahan seperti masjid dan sekolah di lokasi berkenaan turut menyumbang kepada kesukaran orang Rohingya berasimilasi dengan masyarakat setempat.

Kula diminta mengulas kekurangan pekerja dalam sektor ladang dan pembuatan berikutan gesaan supaya golongan pelarian turut diberi peluang menyumbang kepada tenaga kerja.

Pada 22 April, Kumpulan Rentas Parti Parlimen mengenai Matlamat Pembangunan Lestari menggesa supaya Putrajaya berusaha mengintegrasikan pelarian Rohingya dalam masyarakat setempat.

Menurutnya, golongan itu mampu mengisi permintaan bagi tenaga kerja di negara ini.

Persekutuan Majikan Malaysia kemudian menggesa kerajaan membenarkan pelarian dan pendatang tanpa dokumen diambil bekerja dalam sektor seperti perladangan.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai pula mencadangkan golongan pelarian menjalani proses “orientasi kerja dan budaya” untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja negara ini.

Bagaimanapun, Adrian Pereira, pengarah eksekutif NGO hak asasi migran, North-South Initiative, menegaskan integrasi kebudayaan adalah sesuatu yang “bersifat dua hala”.

“Sebelum kerajaan memutuskan untuk mengintegrasikan pelarian dalam tenaga kerja tempatan, undang-undang sewajarnya diperlukan supaya proses integrasi dilakukan secara formal, selain wujud program yang melibatkan penyertaan golongan pakar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.