ECRL dijangka gagal jana keuntungan, kata pemimpin Amanah

ECRL dijangka gagal jana keuntungan, kata pemimpin Amanah

Faiz Fadzil berkata ia mengambil kira jumlah penumpang, muatan kargo, selain landasan tunggal yang tidak mampu menyaingi kemampuan KTMB yang sudah lama beroperasi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah Faiz Fadzil berkata, sasaran 5.6 juta penumpang ECRL pada tahun pertama operasinya ‘terlalu tinggi’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM50 bilion tidak mungkin menguntungkan dalam jangka panjang dan mungkin perlu diselamatkan kerajaan pada masa depan, kata ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah Faiz Fadzil.

Beliau berkata, ini kerana unjuran kerajaan berkenaan penumpang dan kargo yang dijangka menggunakan perkhidmatan itu meragukan.

Projek ECRL yang digelar sebagai “usaha yang menguntungkan” meskipun ia mustahil dicapai, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sasaran 5.6 juta penumpang ECRL pada tahun pertama operasinya dilihat suatu ketetapan tinggi memandangkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Pantai Barat hanya mampu mencecah 3.75 juta pada 2019.

“Lebih melucukan, kerajaan menganggarkan bahawa ECRL (yang menuju ke Pantai Timur) akan membawa lebih banyak penumpang dan kargo berbanding KTMB yang sudah sekian lama berkhidmat untuk lokasi berpenduduk padat dan pelabuhan-pelabuhan utama di Pantai Barat.

“ECRL ini juga adalah tren “single-track”, bukannya “double track” seperti KTMB di Pantai Barat. KTMB pula hanya mencapai 6 juta tan kargo pada tahun 2020, walaupun ia beroperasi di lokasi-lokasi yang mengendalikan 285 juta tan kargo,” katanya.

“ECRL, sebaliknya, mendakwa ia akan mencapai 26 juta tan kargo pada tahun pertamanya, walaupun ia beroperasi di lokasi-lokasi yang hanya mengendalikan 22 juta tan kargo pada tahun 2020,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu.

Faiz berkata, menurut menteri pengangkutan, 70% daripada hasil ECRL akan datang daripada kargo, yang meningkatkan kemungkinan ia gagal.

Beliau berkata, ini mengingatkan kepada era apabila KTMB diselamatkan dengan menggunakan wang pembayar cukai.

Faiz berkata, dalam kes ECRL, sebarang “bailout” adalah dalam bentuk pembayaran pinjaman yang diberikan oleh China untuk projek itu.

“Memandangkan 85% kos ECRL akan dibiayai menerusi pinjaman daripada China, Malaysia akan berhutang RM42.7 bilion (tidak termasuk faedah) kepada negara itu. Pada kadar faedah pinjaman 3.25% dan tempoh pembayaran 20 tahun, jumlah hutang akan melonjak kepada RM58 bilion.

“Tanpa adanya sumber pendapatan yang mencukupi, amat mustahil bagi ECRL membayar hutang ini tanpa sokongan kerajaan.”

Rangkaian rel sepanjang 665km itu yang merangkumi 59 terowong, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion. Ia merentasi empat negeri — Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

FMT menghubungi projek ECRL dan pemilik aset Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.