Bayaran pampasan tangguh umrah selesai Mac lalu

Bayaran pampasan tangguh umrah selesai Mac lalu

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata proses pembayaran diuruskan Lembaga Tabung Haji bermula 8 Jan lalu.

Lebih 1,000 jemaah menerima pampasan sebanyak RM1,671 setiap seorang ekoran penangguhan sementara ibadat itu kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Pembayaran pampasan kepada lebih 1,000 jemaah umrah ekoran penangguhan sementara ibadat itu kerana kebimbangan berhubung varian Omicron Covid-19 bermula 8 Jan selesai diberikan pada Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, proses pembayaran diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, mereka yang menerima pampasan telah memenuhi syarat ditetapkan sebelum ini termasuk dokumentasi berkaitan yang lengkap dengan perbelanjaan bagi pelaksanaan umrah.

“Antara syarat dikenakan adalah mereka perlu mengemukakan resit yang mereka telah bayar termasuk segala perbelanjaan yang berbukti, namun telah hangus disebabkan penangguhan umrah.

“Kita berharap ia (bayaran pampasan) sekali gus meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan pelaksanaan umrah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Yakob.

Media sebelum ini melaporkan jemaah umrah akan menerima bayaran sagu hati RM1,671 seorang daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dilaporkan berkata, bayaran akan dikreditkan dengan menggunakan akaun simpanan TH jemaah umrah bermula pada 18 Feb lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.