
Katanya, debat terbuka sempena pilihan raya itu nanti perlu membincangkan isu lebih besar untuk dinilai rakyat.
“Debat hari ini seperti mana permulaan kempen pilihan raya, dalam pilihan raya besok patut ada seperti ini dan membincangkan isu lebih besar,” katanya selepas debat perdana antara beliau dan Najib di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui media menyifatkan debat antara dua nama besar negara yang berbeza ideologi politik membukti kematangan dalam berpolitik.
“Sesi ini dilihat sebagai suatu proses kematangan politik dan saya ucap terima kasih kepada penganjur, penaja dan wacana intelek sebegini harus diadakan lebih kerap supaya kita bukan hanya merungkai permasalahan satu-satu kumpulan, tetapi yang lebih penting supaya rakyat diberi kefahaman,” katanya.
Debat perdana yang julung kali menampilkan dua tokoh besar arena politik tanah air, Anwar dan Najib malam ini, mengupas pelbagai isu berkepentingan kepada negara.
Ia menyentuh dua isu utama iaitu persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Anwar dan Najib turut membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.
Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran “bailout” SEB.