5 mangsa rentung pelajar Usas di Kuala Kangsar

5 mangsa rentung pelajar Usas di Kuala Kangsar

Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usas, Ahmad Zaki Hasan mengesahkan dua daripada mangsa itu ialah pelajar diploma, manakala tiga lagi pelajar ijazah sarjana muda.

Keadaan kereta yang dinaiki lima mangsa rentung dalam nahas dekat Terowong Menora tengah malam tadi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Lima mangsa rentung dalam nahas di KM246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, selepas Terowong Menora tengah malam tadi, adalah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) di Kuala Kangsar.

Mereka adalah pemandu kereta, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; penumpang hadapan, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 dan tiga penumpang belakang, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usas, Ahmad Zaki Hasan mengesahkan dua daripada mangsa itu ialah pelajar diploma, manakala tiga lagi pelajar ijazah sarjana muda.

“Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.

“Kita juga telah maklumkan kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir di hospital bagi proses pengecaman.

“Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata nahas itu membabitkan lapan mangsa, di mana lima daripadanya yang menaiki kereta itu maut di tempat kejadian dengan 90% terbakar, manakala dua pemandu treler dan seorang kelindan terselamat.

Katanya, kereta yang dinaiki lima mangsa itu terbakar dan menyebabkan treler bermuatan besi turut terbakar 90%, manakala treler membawa muatan mozek hanya dilanggar di bahagian belakangnya.

Sementara itu, polis mengesahkan kepada Bernama pemandu treler terbabit ditahan bagi membantu siasatan kemalangan itu.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.