Tak cukup sekadar elak pertembungan kerusi, PSB dan DAP disaran bentuk pakatan

Tak cukup sekadar elak pertembungan kerusi, PSB dan DAP disaran bentuk pakatan

Pakatan antara kedua-dua parti pembangkang di Sarawak itu dapat memberi persaingan kepada GPS pada PRU15, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, jika PSB dan DAP membentuk pakatan, ia patut turut membabitkan parti pembangkang lain bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berkata, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP akan meningkatkan prospek masing-masing pada pilihan raya umum (PRU15) jika ia membentuk pakatan berbanding sekadar bersetuju untuk mengelak pertembungan kerusi.

Ini susulan pendedahan Presiden PSB Wong Soon Koh bahawa rundingan sedang dijalankan dengan DAP untuk meningkatkan peluang parti terbabit pada PRU15, dengan matlamat utamanya untuk mengelak pertembungan.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, barisan bersatu diperlukan jika kedua-dua parti pembangkang itu mahu memberi cabaran yang lebih besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

“Tak cukup sekadar elak pertembungan. Jika mahu wujudkan impak, lebih penting untuk mereka bersatu,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa pakatan ini patut turut membabitkan parti pembangkang lain.

“Sekalipun DAP dan PSB bekerjasama, ia masih bertembung dengan parti lain seperti yang berlaku pada pilihan raya yang lalu. Jadi tiada makna. Masih akan wujud pertembungan banyak penjuru yang melemahkan pembangkang dan menguntungkan GPS.”

Bagaimanapun Jeniri mengakui bahawa beliau ragu-ragu barisan seperti itu akan menjadi kenyataan. Parti pembangkang Sarawak katanya, dibutakan oleh ego dan keyakinan masing-masing.

“Tidak mungkin mereka akan bersatu. Dalam sejarah politik Sarawak, pembangkang amat sukar untuk bersatu kerana semua ada agenda tersendiri,” katanya.

Di samping mewujudkan barisan bersatu katanya, usaha menumbangkan GPS juga memerlukan “naratif politik yang berbeza sama sekali”.

Selain DAP, parti Wong juga bersedia untuk merasmikan satu lagi pakatan dengan Parti Bumi Kenyalang (PBK) bagi mengelak pertembungan kerusi pada PRU15.

Pada PRN Sarawak Disember lepas, GPS memperoleh kemenangan besar dengan meraih 76 daripada 82 kerusi DUN, manakala PSB memperoleh empat kerusi dan DAP dua.

Sepuluh parti bertanding pada PRN tersebut, termasuk DAP, PKR dan Amanah bawah panji masing-masing.

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pakatan yang berpotensi antara PSB dan DAP akan menjadi langkah pragmatik memandangkan pertembungan antara kedua-duanya pada Disember mengakibatkan “kerugian yang amat besar” kepada mereka.

Bagaimanapun katanya, terdapat dua halangan dalam usaha membentuk pakatan yang kukuh dan berpanjangan.

“Yang pertama adalah kesukaran dalam pengagihan kerusi kerana mereka yakin dengan kebolehmenangan masing-masing berbanding yang lain di kerusi bertindih. Oleh itu mereka akan keberatan untuk melepaskan kerusi berkenaan,” katanya kepada FMT.

“Yang kedua adalah kesetiaan politik jangka panjang PSB, yang lambat laun mungkin beralih untuk bersekutu dengan GPS jika masanya sesuai,” katanya.

Apabila ditanya apakah yang diperlukan untuk menggulingkan GPS, Oh berkata, “wang” dengan menjelaskan bahawa kawasan pedalaman Sarawak luas dan masih kekurangan dari segi sosioekonomi.

“Dalam tempoh pilihan raya, GPS dengan kelebihannya sebagai penyandang lama (kerusi) boleh menyampaikan sumber yang akan memenangi undi di kawasan terbabit, iaitu sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh parti pembangkang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.