
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang ditahan orang awam dalam jam 11.30 pagi tadi juga didapati positif dadah jenis methamphetamine serta dikehendaki polis.
“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa berjalan kaki dari sekolah agama tersebut sebelum suspek memperlawanya menaiki motosikal untuk dihantar pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul Zaman berkata, suspek juga dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek yang berusia lingkungan 20an itu ditahan anggota cegah jenayah Balai Polis Taman Scientex serta turut merampas motosikal yang digunakan untuk menculik kanak-kanak lelaki berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video seorang lelaki dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak.
Dalam video tersebut, seorang lelaki memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih dan berseluar panjang dilihat tergesa-gesa sambil mendukung kanak-kanak tersebut berhampiran sebuah restoran makanan segera.
Bagaimanapun, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya menghalangnya sebelum menahan suspek serta menghubungi polis untuk tindakan lanjut.