
Peguam Harvinderjit Singh memberitahu wartawan tarikh itu ditetapkan selepas pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan, nota prosiding dan hujahan untuk rayuan awal pada 2019 oleh pendakwaan, perlu dimasukkan dalam rayuan itu.
Pada 2019, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman memerintahkan Sam menjawab pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Isu prima facie juga akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan,” kata Harvinderjit.
Katanya, mahkamah mengarahkan pembelaan mendapatkan dokumen berkaitan daripada Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
“Kami turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Gopal (Sri Ram) akan mengetuai pembelaan,” kata Harvinderjit.
Sam juga akan diwakili peguam Faizal Mokhtar.
Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Okt 2019 membebaskan Sam atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.
Selepas rayuan pihak pendakwaan, Shahnaz memerintahkan kerani itu membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Majistret Siti Hajar Ali yang sebelum ini mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan tahun lalu kerana pihak pendakwaan tidak membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan kedua terhadap Sam dan hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkannya atas kesalahan memandu secara melulu pada 13 April.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 serta enam bulan penjara lagi sekiranya gagal membayar denda.
Hakim itu juga tidak membenarkannya dia diikat jamin dan memerintahkannya menjalani hukuman serta-merta.
Sam kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Rayuan bulan lalu. Mahkamah juga membenarkan Sam merayu terhadap sabitan dan hukumannya.