Hasil siasatan kes polis iring anak ahli Parlimen diumum tak lama lagi

Hasil siasatan kes polis iring anak ahli Parlimen diumum tak lama lagi

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata tindakan juga akan diambil terhadap anak ahli Parlimen itu jika siasatan mendapati dia melanggar undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pada majlis sambutan Hari Raya di Pulapol Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hasil siasatan dalaman terhadap anggota polis trafik yang terlibat mengiring anak seorang ahli Parlimen akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

“Kita telah jalankan siasatan dalaman dan akan umumkan dalam sehari dua lagi kesalahan yang mereka lakukan,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan terhadap anak lelaki ahli Parlimen itu, Hamzah berkata, pihaknya akan berbuat demikian jika siasatan mendapati dia melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa kerajaan tidak akan meminda prosedur operasi standard (SOP) ke atas polis pengiring.

“SOP sudah jelas sebenarnya.. tak ada SOP baharu. Jelas dan kita pun dah jawab dalam Parlimen berkenaan isu ini sebelum ini juga.

“Jadi tak timbul masalah ni. Ini adalah masalah individu yang melakukan kesalahan menggunakan sesuatu yang tidak patut digunakan oleh orang tertentu,” katanya.

Klip berdurasi 20 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta yang dipandu anak lelaki seorang ahli Parlimen diiringi dua anggota polis trafik di sepanjang Jalan Bukit Gambir di Pulau Pinang.

Semalam, polis Pulau Pinang berkata, pemandu yang berusia lingkungan 20-an itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.