‘Cukup-cukuplah, budaya perlu diubah’, kata kumpulan doktor pelatih

‘Cukup-cukuplah, budaya perlu diubah’, kata kumpulan doktor pelatih

Kumpulan itu menganggap MMA tidak peka dan mempersoalkan sama ada kejadian empat doktor pelatih ‘diganggu secara seksual’ bukan sesuatu yang cukup serius.

Kenyataan MMA menunjukkan persatuan itu menganggap penderaan seumpama itu tidak wujud dan disebabkan itulah doktor pelatih terus menderita walaupun laporan dibuat, kata Hartal Doktor Kontrak.
GEORGE TOWN:
Kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa hanya sebilangan kecil kes buli serius melibatkan doktor pelatih mencetuskan rasa tidak puas hati kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK).

Jurucakapnya menyifatkan MMA tidak peka dengan realiti.

Semalam, Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai dilaporkan berkata, kes buli atau layanan teruk di tempat kerja lebih cenderung diselesaikan secara dalaman dan “kata-kata kasar” daripada doktor senior adalah sesuatu yang dijangkakan kerana tekanan kerja, selain memastikan doktor pelatih menjalankan tugas dengan cekap.

Menurut jurucakap HDK yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Syed, kenyataan MMA itu membimbangkan kerana ia hanya menyebut “kes teruk”.

“Bagaimana dengan kes yang tidak begitu teruk? Adakah Kementerian Kesihatan membenarkannya? Jika begitu, apa tanda aras yang mengasingkan sesuatu kes daripada pembulian teruk atau sebaliknya?

“Dengan mengatakan hanya sebilangan kecil dibuli memperkecilkan masalah itu dan meremehkan trauma yang dialami orang lain. Contohnya, dalam minggu ini sahaja, kami menerima empat laporan gangguan dan serangan seksual oleh ‘Dr S’ yang turut dikongsi di Twitter.”

Syed memberitahu FMT, perkataan “sebilangan kecil” yang digunakan oleh MMA menunjukkan persatuan itu menganggap penderaan yang dialami doktor pelatih tidak wujud dan disebabkan itulah doktor pelatih terus menderita, walaupun laporan dibuat.

Katanya, penyelesaian dalaman seperti dinyatakan MMA tiada gunanya apabila mangsa sekadar dilabelkan “kaki report”. Beliau menggesa sebuah jawatankuasa bebas menyiasat aduan sedemikian kerana wujud kebocoran dalam sistem sedia ada apabila maklumat mengenai pemberi maklumat turut terdedah.

Beliau turut menyangkal dakwaan MMA bahawa terdapat terlalu ramai doktor dengan menyifatkannya sebagai tidak sahih.

Katanya, budaya doktor senior “bercakap kasar” kepada doktor pelatih mesti dihentikan, sebaliknya mereka sepatutnya menggunakan bahasa lebih lembut dan menyokong proses latihan golongan itu.

“Jika terus menggunakan kata-kata kasar hanya akan menyebabkan amalan dan trauma ini akan diturunkan pula kepada generasi doktor akan datang. Cukuplah kita mengurus trauma pesakit, tidak perlu menambah beban rakan sekerja kita.

“Tak rugi apa-apapun jika mengambil sikap berlembut dan mendidik dengan baik. Layanan kasar terhadap doktor pelatih patut dihentikan. Ini bukannya era 1960-an.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.