Serah data gangguan penerbangan, kata Mavcom

Serah data gangguan penerbangan, kata Mavcom

Arahan itu bagi tujuan mendapatkan informasi yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu kelewatan penerbangan.

Mavcom berkata data dipohon termasuk informasi penerbangan berjadual yang dirancang berbanding jumlah penerbangan dijadualkan semula.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan syarikat penerbangan menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan bermula dari 29 April hingga 9 Mei lalu.

Mavcom berkata, arahan itu bagi tujuan mendapatkan informasi yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu tersebut.

“Data yang dipohon ini termasuk informasi berkenaan penerbangan berjadual yang telah dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan dijadualkan semula yang telah berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mavcom menerima pelbagai aduan berkaitan syarikat penerbangan yang membuat perubahan secara sembarangan pada jadual penerbangan tanpa memberi notis kepada pengguna.

Menurutnya, syarikat penerbangan dikehendaki memaklumkan kepada pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

“Ia bertindak sebagai titik rujukan bagi melindungi kepentingan pengguna penerbangan yang diperkenalkan pada 2016 dan diperkukuhkan lagi tiga tahun kemudian.

“Bagi penundaan penerbangan selama dua jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon serta internet.

“Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat harus menyediakan penginapan dan pengangkutan, jika diperlukan oleh pengguna. Jika masa penerbangan dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Saripuddin Kasim, berkata pengguna yang menghadapi isu penundaan penerbangan dan tidak mendapat penjagaan sewajarnya diminta membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan selain pengguna digalakkan mengemukakan aduan mereka kepada Mavcom melalui laman web FlySmart.

“Pada masa sama, Mavcom sedang memperhalusi MACPC untuk diperkemaskan serta menambahbaik perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi menggesa Kementerian Pengangkutan dan Mavcom lebih proaktif berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan dan tampil mencari penyelesaian terbaik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.