
Ini menyusul keputusan hari ini oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan kebenaran mereka untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun lalu.
“Persoalan undang-undang yang dibangkitkan memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman,” kata Tengku Maimun dalam keputusan sebulat suara itu.
Turut bersidang bersamanya hakim Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan.
Di bawah Seksyen 96, Mahkamah Persekutuan akan meneruskan untuk mendengar merit rayuan, hanya jika pemohon berjaya menunjukkan persoalan undang-undang atau Perlembagaan yang dikemukakan adalah baharu dan memanfaatkan umum.
Peguam, Shafee Abdullah ialah peguam utama bekas perdana menteri itu dan Nazifuddin.
Peguam hasil, Hazlina Hussain mewakili LHDN. Majlis Peguam yang diberikan status “amicus curiae” (rakan mahkamah) diwakili Anand Raj.
Wee Yeong Kang, yang menganggotai pasukan peguam Najib dan Nazifuddin, berkata mereka akan memfailkan notis rayuan secepat mungkin walaupun mempunyai tempoh 30 hari.
“Kami akan menyediakan rekod rayuan yang termasuk penghakiman Mahkamah Rayuan untuk memudahkan Mahkamah Persekutuan mendengar merit kes ini,” katanya kepada FMT selepas prosiding dalam talian hari ini.
Pada 9 Sept 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil berkata, Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan skema bagaimana taksiran dan kutipan cukai perlu dibuat.
Dalam perundangan percukaian, katanya, cukai tertunggak perlu dibayar selepas taksiran dibuat dan notis diserahkan kepada pembayar cukai dalam masa ditetapkan.
“Walaupun pembayar cukai membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan kerajaan melalui ketua pengarahnya boleh meneruskan kutipan cukai tertunggak di bawah Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan.”
Beliau berkata, had mahkamah mengenai perkara ini adalah “undang-undang yang diselesaikan” susulan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan sejak 1967.
Najib dan Nazifuddin memfailkan sembilan persoalan undang-undang, termasuk sama ada Seksyen 106 bertentangan Perlembagaan dan jika ia merampas kuasa hakim.
Seksyen 106 menyatakan seseorang perlu “membayar terlebih dahulu dan bercakap kemudian”, dan LHDN boleh mendapatkan penghakiman terus.
Satu lagi panel Mahkamah Rayuan turut membenarkan permohonan dua beranak itu untuk menghentikan penghakiman terus yang memerintahkan mereka membayar tunggakan cukai itu.
Pada 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache memutuskan Najib perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN, termasuk cukai tambahan dan penalti untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017.
Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Zaidi Ibrahim pula memerintahkan Nazifuddin membayar tunggakan cukai berjumlah RM37.6 juta dari 2011 hingga 2017.