
Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH berkata ia wajib menyedarkan bahawa kemenangan bermakna menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan cemerlang.
“Pengalaman pahit pengkhianatan Langkah Sheraton harus mengajar kita erti sebenar perjuangan. Ia wajib menyedarkan kita bahawa kemenangan bermakna menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.
“Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat,” menurut kenyataan sempena ulang tahun keempat pembentukan kerajaan PH selepas berjaya menumbangkam kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook; dan Presiden Upko, Madius Tangau.
Majlis Presiden juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri yang kekal setia dengan prinsip perjuangan Pakatan Harapan.
“Oleh itu, bagi mempersiap jentera Pakatan Harapan serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar menuju PRU15, Pakatan Harapan akan membentuk Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Manifesto, dan Jawatankuasa Jelajah Harapan,” katanya.
Langkah Sheraton pada 2020 menyaksikan wakil rakyat BN, Bersatu, PAS, GPS, STAR dan kumpulan yang diketuai timbalan presiden PKR ketika itu Mohamed Azmin Ali, bersatu membentuk kerajaan baharu menyebabkan kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan negara.