
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, laporan baru-baru ini berhubung kes buli telah “menyalah tafsir keadaan sebenar”.
“Dengan kes buli yang dilaporkan kini, banyak media terus menyebut beberapa kes yang berlaku dahulu.
Tonton video di sini.
“Tetapi melihat kembali, berapa banyak kes ini serius? Media hanya menyebut beberapa kes ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Koh berkata, sebelum ini, disebabkan kumpulan doktor pelatih lebih kecil, kes buli atau layanan teruk di tempat kerja lebih cenderung diselesaikan secara dalaman.
Beliau mendapati peningkatan jumlah graduan perubatan sejak beberapa tahun lalu secara semula jadi menyebabkan kes buli meningkat.
“Kita tidak boleh mempunyai jumlah doktor yang begitu ramai tiba-tiba masuk kerana sistem tidak dapat menampungnya. Kita perlu meneliti latihan doktor pelatih untuk menangani kemasukan yang ramai itu.”
Beliau menggesa saringan lebih baik terhadap bakal pelajar perubatan untuk memastikan mereka betul-betul sesuai dan bersedia menjadi pengamal perubatan kerana tugas mereka bukannya kerja mudah.
Katanya, “kata-kata kasar” adalah dijangkakan ketika latihan kerana tekanan kerja dan bagi memastikan doktor pelatih menjalankan tugas mereka dengan cekap.
“Ramai daripada kami tidak kata ia adalah buli kerana ia sebahagian daripada pembelajaran,” katanya selain menambah bahawa kata-kata kasar adalah dijangkakan di mana-mana tempat kerja.
Koh berkata demikian susulan kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu, yang mencetuskan gesaan supaya kerajaan menangani keadaan kerja yang teruk bagi doktor pelatih yang didakwa terlebih kerja dan dibuli.
Doktor pelatih itu dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya pada 17 April lalu, hanya tiga minggu selepas ditempatkan di HPP.
Pada Disember 2020, seorang doktor pelatih di HPP turut meninggal dunia, tiga minggu selepas meletak jawatan.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dan Exco Kesihatan negeri, Norlela Ariffin turut mengulas mengenai nasib doktor pelatih.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian terbaharu itu dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital.