
Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkata, loji terbabit terdiri daripada LRA Bukit Pinang, Pokok Sena, Jenun Lama dan Jenun Baru yang menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan kira-kira 80,000 akaun pengguna.
Katanya, gangguan bekalan air juga dijangka menjejaskan penduduk di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan.
“Henti tugas empat LRA ini dijangka menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah berkenaan.
“Mada giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik Harian Metro.
Maklumat mengenai gangguan bekalan air itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi Facebook Syarikat Air Darul Aman dan laman web www.sada.com.my.
Semalam, Sada dilapor terpaksa menghentikan tugas LRA Bukit Pinang dan Pokok Sena akibat kejadian itu yang menyebabkan 75,000 akaun di Kota Setar serta Pokok Sena mengalami gangguan bekalan air.
Kejadian ban seliaan Mada itu pecah adalah akibat hujan lebat di kawasan tadahan dan dataran semalam yang menyebabkan aliran sungai tidak terkawal serta paras air dari tadahan Sungai Padang Terap meningkat.