Arkitek rugi RM121,000 angkara ‘sarjan Farah’

Arkitek rugi RM121,000 angkara ‘sarjan Farah’

Lelaki berumur 35 tahun membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya ditipu sindiket yang menghubunginya bermula 1 Mac lalu.

Polis berkata, mangsa melakukan 11 transaksi dengan keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan.
KUCHING:
Seorang arkitek di sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM121,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang kononnya dapat menyelesaikan satu kes jenayah kewangan melibatkan lelaki itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berumur 35 tahun itu membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya ditipu sindiket itu yang menghubunginya bermula 1 Mac lalu.

“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Mohd Rizuan’ dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac, mengatakan mangsa terlibat dalam satu kes pengubahan wang,” katanya menurut laporan Bernama.

Setelah mangsa menafikan penglibatannya, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya “sarjan Farah” dari Balai Polis Langkawi dan akan membantu mangsa membuat laporan penafian dengan syarat mangsa membuat pembayaran untuk audit dan siasatan.

“Mangsa kemudian dihubungi beberapa individu melalui telefon bagi mengarahkannya membuat bayaran itu. Mangsa melakukan 11 transaksi wang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan antara 1 Mac dan 12 April,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah nombor telefon yang digunakan suspek tidak dapat dihubungi selepas beliau membuat pembayaran berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.