
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Shabery Cheek, bagaimanapun menjelaskan ummah juga tidak akan berpecah tanpa kerjasama politik termasuk kerjasama Umno-PAS.
“Betul saya setuju. Penyatuan ummah lebih besar daripada kerjasama politik.
Tonton video di sini.
“Ummah tak pecah pun tanpa kerjasama politik. ‘Chill’, relaks dan sejukkan hati,” katanya di Facebook.
Shabery berkata, PAS sendiri sudah mengetepikan warna hijaunya apabila memilih biru Perikatan Nasional (PN) menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya walaupun Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional (MN).
Katanya, Umno dan PAS telah bertembung dalam beberapa pilihan raya sebelum ini namun kedua-duanya masih boleh bersama dalam kerajaan.
“BN biarlah dengan BNnya. Medan tempur telah kita lalui bersama di Melaka dan Johor. Kata-mengata, gelar-menggelar sudah dilemparkan. ‘No hard feelings. Nothing personal’. Selepas itu masing-masing masuk pejabat dan bermesyuarat bersama dalam sebuah kerajaan.
“Ulang balik di PRU15. Kalau ada rezeki boleh duduk sekali lagi bersama dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berharap selepas PAS memilih mahu bersama Bersatu dalam PN, parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak akan meninggalkan mereka yang kini sedang mencari “khemah besar” untuk menjadi perdana menteri ke-10.
“Khabarnya Bersatu pun sedang cari khemah besar. Cari formula nak jadi PM ke-10. Mudahan PAS tak ditinggalkan. Kalau ada rezeki, tak kira dengan siapa, PAS tetap dalam kerajaan,” katanya.
Shabery berkata demikian sebagai membalas kenyataan Tuan Ibrahim, PAS kekal berpendirian bahawa penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, PAS melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam MN.
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap “talam dua muka”.