
Ketua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Tricia Yeoh berkata, ribuan syarikat sedemikian bukan syarikat senaraian awam, tetapi dimiliki sepenuhnya atau sebahagian oleh kementerian.
“Syarikat ini kurang dipantau dan dikawal,” katanya selain menambah bahawa kebanyakannya tidak menguntungkan dan kerajaan perlu menutup syarikat yang mengalami kerugian secara berterusan.
Tonton video di sini.
Beliau berkata, “syarikat kurang efisien” ini tidak layak diselamatkan oleh kerajaan kerana wang itu boleh digunakan dengan lebih baik.
Katanya, Putrajaya perlu mempertimbangkan untuk melarang GLC menyumbang kepada parti politik sama ada dalam bentuk wang atau barangan memandangkan syarikat terbabit sangat kerap digunakan dan dijadikan tempat bergantung bagi tujuan politik.
Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, GLC diwujudkan untuk menjalankan fungsi sosial, khasnya membetulkan masalah serius dalam masyarakat.
Bagaimanapun beliau mendakwa sistem itu dirosakkan oleh ahli politik menyebabkan ramai orang beranggapan buruk terhadap GLC.
Katanya, masalahnya adalah antara GLC swasta dan bukan syarikat senaraian awam, selain menggesa pembersihan sistem GLC untuk menutup “semua syarikat tidak berguna ini yang melantik individu sebagai pengarah untuk tujuan naungan atau mengekalkan sokongan”.
Namun katanya, terdapat kekurangan azam politik untuk memperbaharui sistem itu kerana GLC adalah “rahmat” bagi ahli politik dan mereka tidak mampu melepaskannya.
“Mereka meletakkan kepentingan politik di atas kepentingan negara, khasnya hari ini apabila pilihan raya semakin hampir dan parti politik berpecah belah dalam banyak isu.”